Saturday, December 10, 2011

Bila Rindu Menyapa....

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Salam kasih di angin lalu, untuk anda yang masih lagi setia mengunjungi blog saya.  Semoga anda semua berada di dalam rahmat dan redha Allah.

 Bila Rindu Menyapa.....


Bila Rindu Menyapa.....
Ku katakan pada diri,
Dia bukan milikmu, tetapi milik yang Maha Esa,
Tuhanku sampaikan salam rinduku pada dia,
Pasti DIA mampu membalasnya.


Bila Rindu Menyapa.....
Ku katakan pada diri,
Jangan ikutkan rasa, nanti kau kan merana,
Berdoa pada yang Esa, agar hilang derita.


Monolog rinduku terus mencari,
Pada si dia yang telah pergi,
Pada si dia yang tiada di sisi,
Al-marhum Suami.

Tuhanku,
Jika kau boleh memberi pilihan lagi,
Ku tak ingin semua ini terjadi,
Kerna aku tiada kekuatan diri.

Tuhanku,
Tolonglah, aku Hamba-Mu yang lemah,
Tolonglah, aku sering kali kalah
Tolonglah aku, dalam mujahadah,
Tolonglah aku, menentang nafsu yang gagah.


Tuhanku,
Tolonglah aku,
Jangan biarkan aku terumbang ambing
terus bertahan di dahan dan ranting
yang hampir reput dan kering.


Tuhanku,
Tolonglah aku,
Berilah aku kekuatan,
Menentang kekuatan syaitan,
Menjauh segala kelembutan bisikan,
Mengharung badai di lautan kehidupan,
Melawan ketakutan di belantara kehidupan,
Mengelak kerakusan di belukar kehidupan,
Menyelusuri kegelapan dalam suramnya kehidupan,
Menahan teriknya mentari dalam terangnya kehidupan,
Berlindung dari hujan batu, ribut petir cuaca kehidupan.


Bila Rindu menyapa....
Hanya pada-Mu aku bertanya,
Hanya pada-Mu aku bersuara,
Hanya pada-Mu aku bercerita,
Tiada daya dan upaya,
Hanya pada-Mu aku serahkan segala Cinta,
Kerana ku ingin jadi hamba-Mu yang setia.


Bila rindu menyapa...
Tiada daya dan upaya,
segalanya ku serahkan padaNYA,
yang Maha Agung kekuatan cintaNYA,
kerna rindu hakikiku hanya padaNYA,
Pada Penciptaku yang tiada taranya.

 

Wallahhua'lam.

 

Segala yang baik itu datangnya dari Allah manakala yang buruk itu adalah kelemahan diriku sendiri.

Wassalam.



Usaha Mesti, Kejayaan usah dinanti, Serahkanlah pada Ilahi.

Sunday, December 4, 2011

Isteri yang setia, Hamba yang mulia

 

Assalamualaikum, apa khabar semua.

 

Jangan sampai.... Yang dikendong berciciran, Tak mengapa.... yang dikejar tak dapat.  Kerana yang dikejar belum pasti hebat.  Jangan diikutkan segala bisikan-bisikan Iblis.


 

Dia bukannya sesiapa.  Bukannya dari keturunan ternama, maupun dari keturunan bangsawan ataupun hartawan.  Jauh sekali dari keturunan di raja, tapi hanya khadam pada sang Raja yang bermaharaja lela.

Dia hanya manusia biasa yang diangkatkan tarafnya kerana keikhlasannya terhadap PenciptaNya, terhadap Khalidnya.

Hebat.., hebat,  sungguh hebat hamba ini.  Sukar.., sukar..., terlalu sukar untuk kita menjejaki jejak-jejak yang di tinggalkannya.

Dia bukan sebarangan orang kerana dia tabah menghadapi kehidupan yang di tentukan Ilahi, dia redha dengan ketentuan Ilahi tanpa menyalahkan sesiapa, tanpa rasa dendam, tanpa rasa buruk sangka, tanpa rasa curiga, tanpa rasa marah tanpa ada sifat-sifat yang tidak baik terhadap suami yang di cintainya.  Inilah sebabnya ia di angkat ke tahap yang mulia di sisiNya.

Mampukah kita sepertinya?  Mampukah saya sepertinya.  Setakat ini jawapan ‘saya akan cuba jika itu perintah Allah'.

Alangkah bertuahnya seorang hamba telah di muliakan di sisi Penciptanya.  Alangkah bertuahnya si hamba ini, namanya meniti di setiap bibir muslimah, cerita bertakhta di hati para muslimah sejati, setiasa di sebut-sebut jika ingin mencari-cari ikon untuk para ibu-ibu mithali.  Alangkah bertuahnya si hamba ini.

Hidupnya penuh dugaan, cabaran, penderitaan, kesakitan, kesusahan, kesangsaraan, keresahan.  Di biarkan terumbang ambing keseorangan bersama anak yang di susuinya.  Tanpa rumah untuk berteduh, cuma di tinggalkan bekalan untuk beberapa ketika.  Di tinggalkan di tengah-tengah padang pasir yang kontang.  Tiada berpenghuni, tiada air, tiada makanan.  Apakah ikhtiar yang boleh di usahakannya?  Dia seorang wanita di tinggalkan bersama anaknya di tempat yang merbahaya dengan binatang buas, dengan suasana yang menakutkan.  Tiada manusia lain yang bersamanya.  Yang ada hanyalah Allah tempatnya mengadu dan meminta pertolongan.

Bermulalah cerita

Bermulanya perubahan pada kehidupannya sebaik sahaja dia di serahkan oleh sang raja/Firaun dari negeri Mesir kepada puannya.  Apabila sang raja mengetahui bahawa puannya seorang isteri kepada manusia mulia lagi baik hatinya.  Sang isteri yang cukup tawadhuk terhadap Khalidnya. Kerana keperibadian sang isteri maupun suaminya, sang raja tidak tergamak berbuat sesuka hatinya.  Di serahkan kembali isterinya dan di muliakan dengan menghadiahkan khadam padanya.

Maka isterinya yang cantik molek kembali kepada suaminya bersama khadam yang di hadiahkan kepadanya.  Itulah tanda keberkatan orang tulus hatinya, selamat juga dari raja yang tamak haloba.

Maka kehidupan puannya terus aman damai bersama suaminya.  Namun ada kekurangan pada diri puannya.  Usia telahpun meningkat tujuh puluh tahun, telah pun hampir senja namum tiada zuriat yang menemaninya.    Maka di kahwini khadamnya untuk suaminya supaya ada zuriat yang boleh mewarisi kehebatan suaminya.

Dengan penyatuan itu bermula cerita-cerita yang menyayat hati yang boleh di jadikan panduan dan tauladan untuk semua tidak mengira zaman.  Hasil perkahwinan yang kedua itu, amat mengembirakan hati sang suami.  Ia akhirnya akan beroleh zuriat juga.

Namun sebagai manusia, isteri pertamanya tidak akan lari dari rasa cemburu.  Begitulah yang terjadi pada isteri pertamanya.  Sifat cemburunya telah menguasai diri isteri pertamanya.  Maka berpindahlah perasaan kasih sayang dan kasihan kepada sang suaminya kepada rasa cemburu yang tidak terhingga.  Mulalah  tergambar di dalam khayalannya bahawa madunya akan lebih hebat dan di sayangi suaminya.  Mulalah dia menghasut suaminya.

Setelah anak tersebut di lahirkan, bertambah kuatlah sifat cemburu membakar sang isteri pertama.  Dia sudah tidak mahu tinggal bersama dengan madunya.  Dia meminta suaminya menjauhkan dirinya dari madu serta anaknya.

Penderitaannya bermula.

Maka pada suatu hari Sang suami mengajak isteri kedua dan anaknya ke suatu tempat yang tidak di ketahuinya.  Maka bermacam-macam perasaan yang melanda isteri keduanya.  Rasa takut, kecut dan tak keharuan.  Sang suami telah membuat keputusan untuk mencari tempat perlindungan bagi isteri kedua dan anaknya iaitu Rumah Allah yang pertama di mana Dia disembah di atas muka bumi ini.  Ketika itu tempat tersebut hanyalah padang pasir yang suci sepi, tiada air padanya dan tiada di huni oleh sebarang manusia kecuali sepuak kaum Badwi yang suka berpindah randah.  Maka Sang suami meninggalkan isteri keduanya bersama anaknya di tanah lapang yang mana di bekalkan di sisi mereka satu bungkusan berisi tamar dan satu pundi air sahaja.  Sesudah itu dia berundur balik ke tempat di mana ia datang.

Kasihan sang isteri di tinggalkan bersendirian.  Kini barulah dia sedar akan tugasnya semasa dia mengamat-amati kesepian dan kesunyian di sekelilingnya.  Dia merasa sesal yang amat sangat.  Mengapa dia di tinggalkan sendirian begitu rupa bersama anak yang masih menyusu dan masih kecil tanpa ada perlindungan.  Dalam keadaan terharu dan memanggil suaminya "

"Hai suamiku! Ke mana engkau hendak pergi?  Mengapa engkau tinggalkan kami di lembah ini, yang tiada berpenghuni dan tiada apa-apa pun ini?"

Sang isteri  mengulang-ulang kata-katanya, sambil merayu-rayu dan meminta di belas kasihani, agar dia dan anaknya tidak di tinggalkan di situ bersendirian, di tempat yang sunyi lagi mengerikan itu.

Akan tetapi tiada jawapan dari suaminya dia terus berlalu bahkan tiada menoleh pun kebelakang kerana bimbang sifat belas kasihannya akan mengkhianati dirinya.

Dia terdengar lagi suara isterinya yang menyayat hatinya bila berada di hujung lembah tersebut.

"Hai suamiku! Apakah tuhan yang memerintahkan engkau untuk meninggalkanku dengan anak kecil ini di tempat sunyi ini?"

Maka sang suaminya menjawab tanpa menoleh kebelakang. "Ya, benar"

Mendengar jawapan itu,  isteri keduanya itu berserah diri dalam keadaan tenang seraya berkata kepada dirinya sendiri,

"Kalau begitu, tentu Tuhan tidak akan mensia-siakan kami!"  Diapun berdiam lemah.  Manakala Suaminya mengangkat kedua-dua belah tangannya kearah langit sambil berdoa sebagaimana yang tertulis di dalam Al-Quran"

"Wahai Tuhan kami!  Sesungguhnya aku menempatkan dari keturunanku di lembah yang tiada mempunyai tanan-tanaman berdekatan dengan Rumah Suci Engkau.  Tuhan kami!  Ingatkanlah mereka supaya mengerjakan sembahyang, sebab itu jadikanlah hati manusia tertarik kepada mereka, dan berilah mereka rezeki dari buah-buahan. moga-moga mereka berterima kasih.

(Ibrahim : ayat 37)

"Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau mengetahui apa yang kami sembunyikan, dan apa yang kami terangkan dan tiadalah tersembunyi kepada Tuhan sesuatu pun baik yang di bumi ataupun yang di langit."

(Ibrahim : ayat 38)

Sesudah itu dia terus berlalu dan menyambung perjalanannya balik semula pada isteri pertamanya.

Maka tinggalah sang isteri kedua tersebut bersama anaknya di lembah yang sunyi sepi dan menyeramkan itu dengan terus menyusukan anaknya.  Di hiburkan hatinya dengan mengamati wajah anak kecilnya yang tidak berdosa itu hingga terlupa untuk seketika tragedi yang melanda dirinya.

Bila dia kehabisan bekalan dan si anak pula merengek-rengek kehausan, barulah dia tersedar bahawa dia sedang berada di tanah lapang, yang kering kontang yang ada hanyalah batu-batu besar dan gunung-ganang yang hitam legam.  Dia sendiri merasakan kedahagaan dan kelaparan namun tak tahu apa yang harus di lakukan.  Mulalah nafasnya bergoncong, berasa ketakutan dan bimbang. Cemas sungguh rasanya, sang ibu melihat anaknya seolah-olah keputusan nafas, sedang menghadapi maut.  Di dalam tangannya tiada apa-apa, apakah patut yang di lakukannya untuk menyelamatkan anaknya yang kehausan.

Dalam keadaan bingung bercampur putus asa, dia mula mundar-mandir ke hulu dan ke hilir.  Pergi ke bukit yang hampir dengannya, mencari-cari jika ada kelibat manusia yang melalui tempat itu.  Kecewa sungguh si ibu tiada apa yang dapat dilihatnya, semuanya senyap sunyi belaka.

Maka berlari-lari anaklah dia  ke lembah, tak tahu ke mana arah.  Lalu ke bukit satu lagi yang di tujunya.  Namun sama juga, tiada apa yang di lihatnya.  Tanpa rasa putus asa dia terus mengulangi perbuatannya sebanyak tujuh kali, sehinggalah lelahnya telah menguasai diri dan tidak mampu bertahan lagi.  Tersungkurlah dia ke bumi, tiada bertenaga dan bermaya lagi.  Tetapi cungapan anak kecilnya menyoyat-nyoyat kalbunya serta merentap-rentap jantungnya.  Mana mungkin seorang ibu sanggup melihat keadaan anak yang seperti di dalam sakarat, sekejap bernafas dan sekejap lagi terputus nafasnya.

Itulah satu-satu anak yang di milikinya, padahal dia tiada mampu berbuat apa-apa.  Dia keseorangan di tengah padang pasir yang terbentang luas saujana mata memandang.

Tiada apa yang boleh di lakukan lagi.  Tiada dayanya lagi. Benak hatinya menjerit dan meratap penuh hiba, hati bagai tertusuk sembilu, sakitnya amat terasa.  Kini telah terhenti pernafasan anaknya.  Tiada yang terdengar kini kecuali kehibaan seorang ibu, sakarat seorang bayi dengan jeritan serigala-serigala lapar sedang menunggu mangsanya.

Entah dari mana munculnya sekawan burung berterbangan di sekeliling tempat si ibu dan anaknya, lalu menengek pula ke atas kawasan berhampirannya dan mula pula mematuk-matuk bumi dengan muncungnya hinggalah memancut keluar air yang tidak di sangka-sangka.  Melihatkan keadaan itu, si ibu bersemangat semula, kekuatan telah kembali, terus ia menerpa ke arah itu.  Lalu dia menadah air itu lalu di titikkan ke mulut anaknya.  Di teruskan usahanya dengan mengali lubang pula dan setiap galiannya memancutkan air yang banyak.

Demikianlah berlakunya mukjizat Ilahi, yang menjadi sumber kehidupan si ibu, anak dan seluruh lembah itu.

Setelah beberapa waktu berada di sana, datang pula sekumpulan orang-orang Badwi dari suku Jurhum datang mendapatkan mereka.  Lalu si ibu membenarkan mereka tinggal bersama-sama.  Maka di ajak seluruh kaum keluarganya berpindah ke tempat itu(Makkah).  Si anak terus membesar bersama mereka dan akhirnya berkahwin dengan  puteri mereka.

Setelah anak itu berusia belasan tahun, barulah isteri pertamanya mendapat cahaya mata.

Watak-watak Utama

Sang suami :  Nabi Ibrahim a.s

Isteri pertama :  Siti Sarah

Isteri kedua :  Siti Hajar

Anak  isteri kedua:  Nabi Ismail

Anak isteri pertama:  Nabi Ishaq

* Siti Hajar adalah ibu keturunan bangsa Arab.  Nabi Ismail di kenali sebagai orang Arab manakala Nabi Ishaq dikenali sebagai Bani Israil/Yahudi yang tinggal di Palastine dan kebanyakkan kaumnya telah berpindah randah di serata dunia.

Bukit yang di maksudkan:

Shafa dan Marwah.

Air yang di maksud :

Air Zamzam

Rujukan Dari buku:

100 Tokoh Wanita Terbilang.



Sirah Rasullullah



Ensiklopedia Sirah Rasullullah



Wallahua'lam.

Segala yang baik itu datangnya dari Allah manakala yang buruk itu adalah kelemahan diriku sendiri.

Wassalam.

 

Usaha Mesti, Kejayaan usah di nanti, Serahkanlah pada Ilahi.

*** telah di edit ulang tayang dan di edit semula.  Tulisan pertama pada June 2009.

 

Friday, November 25, 2011

Salam Maal Hijrah 1433H.

 

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Salam kasih di angin lalu, untuk anda yang masih lagi setia mengunjungi blog saya.  Semoga anda semua berada di dalam rahmat dan redha Allah.

[caption id="attachment_2936" align="alignleft" width="300" caption="Almarhummah Mertuaku"][/caption]

Alhamdulillah kita sudah menghampiri ke penghujung tahun 1432H.  Cepatnya masa berlalu, rasanya baru sahaja suami pergi tetapi sudah menghampiri setahun.  Almarhummah mak mertua saya telah pun setahun pergi meninggalkan kami sekeluarga manakala almarhum suami akan menghampiri setahun tidak lama lagi, telah pergi meninggalkan kami.  Beza antara mak mertua dan suami pergi cuma 46 hari sahaja.


Masih ingat lagi kata-kata kakak ipar, ketika kami ingin pulang ke Seremban setelah menziarahi mak mertua yang terlantar,  "Mak sedaya upaya nak bangun untuk melihat adik(suami yang kecil sekali, kata kakak ipar anak kesayangannya) balik ke Seremban".  Tetapi tiada siapa yang nak angkat(kakak ipar tak nak angkat sebab kasihan dia takut sakit/letih).  Dia hanya memalingkan mukanya ke arah tingkap sambil melihat kereta kami bergerak keluar. Mungkin itu juga sebab/petanda jarak mereka pergi meninggalkan dunia ini tidak jauh bezanya.


Maklumlah setiap bulan kami sekeluarga balik kampung membersihkan dan memotong rumput rumah maknya, walaupun kadang-kadang saya tidak ikut(sibuk dengan tempahan, anak tuisyen).  Saya pun lebih suka menolong berkemas di rumah mak mertua dari rumah mak sendiri.  Nak tau kenapa?  Banyak sebab-sebabnya, tetapi yang pastinya diakan mak suami saya, jadi untuk mendapat redha suami dan kasih sayang suami dan akhirnya mendapat redha Allah, jadi kita kena buat baik kepada sesiapa sahaja yang suami kita sayang.  Apatah lagi maknya dan keluarganya.  Memang berbaloi apa yang saya buat sebelum ini,  kerana di hujung usia mereka(suami dan mertua), mereka menunjukkan rasa kasih sayang berlebih-lebihan hingga saya pula yang tak selesa.


Memang di hujung-hujung usia mak mertua dia nampak lebih rapat dengan kami sekeluarga tetapi bukan bermakna dia tidak rapat dengan anak-anak yang lain.  Kalau datang ke rumah kami pun lebih lama sedikit dari sebelumnya.  Kadang-kadang bila abang ipar(biras) ada urusan ke Seremban/KL dia tiba-tiba kata nak ikut dan suruh abang singah/hantar ke rumah kami tanpa memberitahu dahulu.  Biasalah suami saya selalu tak ada dirumah, saya pula bila waktu hari bersekolah ni memang selalu keluar rumah samada pergi ke surau atau urusan lain.  Jadi bila dia datang saya tak ada di rumah.  Kenalah telefon dan tunggu sekejap walaupun kadang-kadang abang ipar ada urusan kerja.  Bila mak mertua berada di rumah saya pula, mana saya pergi dia nak ikut samada jemput anak sekolah atau pergi ke surau.  Bila saya ajak je terus nak ikut tetapi kadang-kadang saya tak ajak dia walaupun ada di rumah saya, sebab takut dia letih/demam.  Saya selalu ingat pesan kakak ipar, takut dia sakit/demam nanti yang susah kakak kat kampung yang kena jaga.


Saya juga tak terlalu berkira-kira dengannya.  Kalau di kampung, saya selalunya suka tidur di dalam bilik dengan anak-anak kecil dan suami,yang besar tidur di ruang depan bersama mak mertua, tetapi setahun/dua tahun sebelum dia pergi, dia selalu ajak saya tidur sama-sama di ruang tamu/depan tv.  Lama-lama tu saya perasan mungkin dia nak bermanja dengan anaknya(suami).  Jadi kami tidurlah bersama-samanya diruang tamu kalau tak ada keluarga lain yang balik.   Dia selalunya tidur sebelah saya/dekat dengan saya.  Bila datang rumah kami pun dia nak tidur bersama-sama dengan saya, suami dan anak-anak tetapi bila saya beritahu suami dia kata, " tak pelah tidurlah kat bilik yang dah disediakan untuknya".  Kadang-kadang saya perasan juga kalau ada apa-apa yang dia nak, dia tak cakap terus kat suami saya tetapi dia cakap dekat saya dulu.  Mungkin juga kerana nak jaga hati saya, mungkin juga kerana suami saya selalunya tak berapa nak ikut cakapnya bila dia sendiri beritahu.


Apa-apa pun mak mertua saya memang seorang yang baik dan lemah lembut dengan anak-anaknya berbanding dengan saya yang selalu suka marah(tapi taklah menengking/herdik) anak-anak walaupun depan mak mertua.  Tetapi mak mertua selalu sokong saya bila saya marah anak-anak, padahal saya tak pernah nampak dia marah dan bersungut tentang/dengan anak-anaknya.  Dia pun tak pernah mengadu dan komen perkara-perkara yang tak elok tentang anak-anaknya.  Saya selalu ingin jadi sepertinya dan berazam ingin jadi seperti mak mertua saya tetapi hingga setakat ini rasanya belum mampu sebaiknya.


Itulah azam saya untuk tahun baru Maal Hijrah yang akan datang tidak lama lagi, "Menjadi ibu yang baik kepada anak-anak saya, mampu memberi dengan penuh kasih sayang".  Sesungguhnya rasa kasih sayang itu kurniaan dan hadiah dari Allah, walaupun kadang-kadang rasa kasih sayang itu bukan pada orang yang sepatutnya kita sayang.


Salam Maal Hijrah untuk semua.  Semoga apa sahaja yang ingin kita lakukan, matlamat utama kita ialah untuk mencari "REDHA ALLAH", walaupun ia nampak "BERBEZA DARI BIASA".




[caption id="attachment_2934" align="aligncenter" width="540" caption="Terimalah segala ketentuan/takdir Allah untuk diri kita sendiri terutama untuk diri  saya sendiri.  Peringatan ini lebih untuk diri saya sendiri.... :)."][/caption]

Ameen, ameen ya Rabbal alamin.


 

Wallahhua'lam.

 

Segala yang baik itu datangnya dari Allah manakala yang buruk itu adalah kelemahan diriku sendiri.

Wassalam.



Usaha Mesti, Kejayaan usah dinanti, Serahkanlah pada Ilahi.

 

Thursday, November 17, 2011

Memberi Untuk Apa?

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Salam kasih di angin lalu, untuk anda yang masih lagi setia mengunjungi blog saya.  Semoga anda semua berada di dalam rahmat dan redha Allah.

Memberi untuk mengharapkan pahala bukan mengharapkan balasan atau habuan dari manusia.


Memberi untuk mengharapkan redha, rahmat dan akhirnya diberi Syurga oleh  Allah.


Memberi berterusan untuk mengharapkan menjadi ikhlas kerana Allah.


Memberi dengan ikhlas itulah setinggi-tinggi darjat di sisi Allah


Memberilah demi meraih cinta Allah.


Tak tahulah apa yang sepatut saya ucapkan, Subhanallah atau Alhamdulillah atau Allahhuakhbar?


Sejak saya menjadi ibu tunggal ni, ada beberapa orang yang meluahkan perasaannya dalam kotak masej di facebook.  Ada yang menyatakan ingin berniqap seperti saya, ada yang baru menjadi ibu tunggal seperti saya juga, ada juga yang  berceritakan masalah hidup bermadu.  Mohon maaf,  mungkin ada yang ingin menyambung luahannya tapi facebook saya ditutup seketika.  Demi menjaga hati sendiri supaya tidak bertambah perkara-perkara mazmumah yang dah sedia ada, juga untuk mengawal diri sendiri supaya tidak terlalu 'kemaruk' dengan fb ni.  Banyak perkara tertangguh di sebabkan berfb.


Bagi anda yang meluahkan perasaan dan masih lagi belum habis nak menyatakan apa yang patut pada saya, boleh juga hubungi saya melalui blog ini di bahagian hubungi.  Saya percaya anda semua membaca blog saya walaupun tidak meninggalkan sebarang komen.  Terima kasih kerana memberi kepercayaan kepada saya, walaupun kita tak pernah bersua dan anda tidak tahupun bagaiamana saya lebih-lebih lagi hati saya yang tidak dapat dibaca dan dirasa.


Oleh kerana perkara ini lebih dari seorang meluahkan kepada saya, kali ini saya nak menyentuh sedikit tentang luahan mereka yang hidup bermadu/dimadukan.


Allahhu Akhbar!  Takut saya membacanya, terasa-rasa saya pula bakal menghadapinya.  Kerana cerita yang mereka paparkan semuanya menandakan mereka menghadapi masalah yang besar.  Tetapi jangan anggap ia satu masalah anggaplah ia satu cabaran untuk kita menjadi terbaik di sisi Tuhan.  Anggaplah segala ujian dan cabaran maupun yang dikatakan 'balasan diatas perbuatan yang buruk di masa lalu'  itu sebagai penentu samada kita layak mendapat rahmat serta redha Allah dan akhirnya boleh di hantar ke Syurga Allah atau tidak.  Bukankah kita mengimpikan menjadi "Bidadari di Syurga Allah"?  Jika kita mampu dan sanggup menghadapinya bermakna peluang kita untuk menjadi bidadari di Syurga Allah amat-amat cerah.


"Allah melihat kesanggupan kita menghadapi apa yang diberikan-NYA kepada kita.  Allah melihat bagaimana kita menghadapinya bukan apa yang kita perolehi."


Apa-apa pun, itulah pilihan yang telah dibuat, jadi suka tak suka kena hadapi juga cuma caranya perlulah diperbetulkan dari semasa ke semasa.  Memanglah kita ini manusia biasa/hamba Allah, jadi kesilapan itu tetap ada dan cubalah memperbaiki sedikit demi sedikit.  Kadang-kadang kita rasa dah betul dah cara kita tetapi ada juga silapnya di mana-mana yang mungkin kita tidak nampak dan perasan.  Kadang-kadang Allah ingin kita mendekatkan diri kita kepadaNYA atau ingin kita jadi baik, jadi diberikan ujian, kadang-kadang ada lagi hak Allah yang kita masih menangguhkan untuk dilaksanakan jadi Allah tidak mempermudahkan untuk kita menyelesaikan.  Jadi sentiasalah bermuhasabah....


Walaupun saya sendiri tidak mengalaminya apa yang anda alami tetapi peluang untuk saya menghadapinya memang ada, maklumlah dah tak de suami.  Segala kemungkinan mungkin akan terjadi pada saya walaupun saya sudah cuba mengelakkannya.  Cabaran, ujian atau apa-apa sahaja istilah yang di gunakan, penanda aras kejayaan kita di Akhirat nanti.  Oleh kerana hati kita milik Allah jua, walaupun kita sudah mentadbir diri kita sebaik mungkin tetapi takdir Allah mengatasi segala-galanya, jadi hati kita boleh berubah bila-bila masa sahaja.


Tahniah kepada anda yang sanggup hidup bermadu dan dimadukan.  Satu kejayaan yang besar bagi anda yang berbuat demikian kerana itu menandakan anda tidak melawan/menentang hukum Allah.  Anda telah selamat dalam satu sudut.  Untuk bahagian lain pula mungkin perlu banyak belajar dari pengalaman atau dari orang lain yang menghadapi perkara yang sama.  Banyakkan bertanya dan banyak menimba ilmu agama, insyaAllah, Allah akan mempermudahkan urusan kita.  Kebiasaannya jika sudah sanggup menjadi isteri kedua atau seterusnya tiada masalah untuk menerima isteri pertama atau yang lainnya.  Selalunya isteri pertama yang susah untuk  menerima kehadiran orang lain dalam hidup suaminya.  Itulah tugas sang suami untuk mendidik isterinya.  Suami yang bijaksana dan berilmu agama pasti boleh menguruskan hal-hal yang demikian.


Jangan sampai ada di antara kita sanggup meruntuhkan kebahagiaan orang lain untuk mendapat kebahagiaan diri sendiri.  Berkongsi kebahagiaan itulah yang terbaik.  Makna kebahagiaan adalah bila kita sanggup melakukan pengorbanan sehingga berjaya meraih keredhaan dan rahmat Allah.     Kebahagiaan kita adalah bila Allah mencintai kita bukan bila kita dicintai dan mencintai manusia.


Manakala makna ketenangan ialah apabila melihat orang lain senang serta berjaya atas apa yang kita usahakan/lakukan tanpa mahu meminta serta berharap kita akan dihargai atau disayangi.  Lakukannya semata-mata kerana Allah.  Jika mengharapkan kita akan dapat pulangan dari apa yang kita beri, hati kita takkan tenang kerana sentiasa teringat bilakah kita akan mendapat apa yang sepatutnya kita dapat. Panjatlah setapak lagi tangga kebaikkan untuk diri kita, dengan mengatakan,


"memberi bukan untuk menerima tetapi untuk redha Maha Esa" atau


"memberi bukan untuk menerima sesuatu tetapi untuk ke Syurga".


"memberi tanpa mengharapkan apa-apa dari manusia tetapi mengharapkan sesuatu dari yang Maha Esa."


"memberi dengan melupakan pemberian yang kita berikan tetapi berilah apa sahaja yang mereka perlukan."


"memberi dengan melupakan pemberian yang kita berikan tetapi ingatlah dosa yang pernah kita lakukan."


Dengan itu kita sanggup terus memberi kerana mengharapkan rahmat dan redha yang Maha Esa kerana dialah penentu apa yang kita dapat di dunia lebih-lebih lagi di Akhirat nanti.


Oleh itu wahai para-para isteri, kerna Allah telah mengatakan Syurgamu bergantung pada redha sang Suami.  Lakukanlah yang terbaik untuk suamimu dan lakukanlah mengikut apa yang telah di gariskan dalam Islam.  Lakukan kerana mencari redha Tuhan bukan untuk mendapat habuan dari Sang suami.  Jangan terlalu banyak meminta tetapi banyakkanlah memberi tanpa perlu menagih simpati dan menagih untuk dihargai, apatah lagi untuk disayangi.  Ya, memang benar kita berhak untuk semua itu tetapi Allah lebih tahu hak kita.  Berilah hak Allah terlebih dahulu, insyaAllah kita akan mendapat hak kita tanpa perlu kita meminta. Memintalah sekadarnya, mengikut keperluan bukan meminta mengikut kemampuan serta kemahuan kita.


Saya juga pernah menjadi isteri, jadi saya juga pernah melalui apa yang pernah anda lalui tetapi mungkin sedikit berbeza.  Kalau kebanyakkan sang isteri pertama tidak rela dimadukan tetapi saya lain, rela dan sanggup meminangkan isteri lain untuk suami.  Cumanya suami yang tidak mahu.  Begitulah kata ustazah,  jika kita sanggup lakukan sesuatu yang berbeza atau yang lebih dari sepatutnya, perkara tersebut selalunya tidak terjadi pada kita tetapi bila kita tidak sanggup melakukannya,  Allah akan uji kita supaya melakukannya.  Perkara yang kita hendak selalunya tidak dapat tapi yang kita tidak hendaklah selalu kita terpaksa ambil.  Itulah ketentuan/takdir Allah.  Mampukah kita melawannya?


Kesuka-relaan isteri pertama untuk di madukan mungkin kerana ingin mencari redha Allah(pencapai tertinggi para wanita di sisi Allah), mungkin juga kerana tidak mampu membahagiakan suaminya atau mungkin juga kerana tidak bahagia dengan suaminya.  Tetapi kebanyakkan para isteri walaupun tidak mampu membahagiakan suaminya dia tidak rela dimadukan atau bermadu, tetapi bila dia rasa tidak bahagia dia akan sanggup mencari yang lain dan sebagainya.  Itulah namanya mementingkan diri sendiri.


Di manakah pencapaian kita?  Apakah matlamat kita?  Ingin terus mementingkan diri sendiri tanpa mahu mencari redha Ilahi?  Tepuk dada tanyalah iman dan takwa kita.  Kesanggupan kita bergantung kepada keimanan dan ketakwaan kita.  Allah menilai kesanggupan kita menghadapi halangan bukan kemampuan kita memperolehi kejayaan di sisi insan yang bertaraf  hamba Tuhan.


Apa-apa pun dan siapa pun kita, fikirkan matlamat akhir kita, ingin mencari redha Allah atau redha manusia?  Ingin ke Syurga Allah atau ke Neraka Allah.  Ingin mendapat cinta Allah atau cinta manusia.  Mana yang lebih utama dan pertama?


Fikir-fikirkan... :).

 

*************************

Sesiapa yang meluahkan hasrat untuk pakai niqab/purdah kat saya tu, kalau dah bulat kata dan kuat semangat, jangan lupa beritahu saya kat sini ya... :). Hantarkan emel kat akak.  Akak akan berikan apa yang dijanjikan....

Selamat mencari Redha Tuhan.

 

Wallahhua'lam.

 

Segala yang baik itu datangnya dari Allah manakala yang buruk itu adalah kelemahan diriku sendiri.

Wassalam.



Usaha Mesti, Kejayaan usah dinanti, Serahkanlah pada Ilahi.

Monday, November 14, 2011

Ulang membaca dan menghayatinya

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Salam kasih di angin lalu, untuk anda yang masih lagi setia mengunjungi blog saya.  Semoga anda semua berada di dalam rahmat dan redha Allah.

Banyak-banyak puisi yang saya buat, yang ini paling saya suka.  Dari dulu(mula ia terhasil) sampai sekarang saya selalu mengulang baca puisi ini.  Cuba mengimbas kembali macamana saya boleh menghasilkannya tapi masih kelam dan kelabu....  Tak apalah asalkan ada manfaatnya apa salahnya di ulang baca.... :).

 

Di Ampaian Kasih-Mu.

Fajar menyingsing di ufuk meninggi
Nyaman dan dingin  di subuh hari
Burung-burung turut menyanyi
Menghirup udara segar di waktu pagi.

Bayu bertiup sepoi-sepoi bahasa
Kelembutannya mendamaikan jiwa.

Dedaun melambai mesra
Menenangkan hati yang bergelora.

Beburung berterbangan di atas sana
Mengundang gembira rasa di dada.

Segalanya menyerikan dunia nan fana
Penanda hebatnya Sang Pencipta.

Kala mentari terik
Tiba-tiba hujan membisik
Tanpa mampu diselidik
Walaupun sekadar rintik-rintik
Tanpa terasa terpercik
Bisanya rasa tertukik.

Pun begitu pelanggi selalunya muncul
Setelah hujan panas mula berundur
Memberikan harapan yang telah luntur
Timbullah kekuatan baru yang luhur.

Indahnya malam dalam kegelapan
Diserikan bintang-bintang yang berkerlipan
Rembulan memancarkan sinar kekuatan
Terserlahlah awan-awan yang keputihan
Memberi petanda penuh harapan
Walaupun rindu sang Pungguk belum kesampaian.

Kala manusia terleka
KAU memberi tanda
Awan gelap tanda berjaga-jaga
Mungkin bencana akan tiba
Mungkin juga pelindung dari bahaya
Bagi mereka yang mampu membaca
Begitulah kasihnya Pemilik dunia.

Wahai Pemilik sejagat yang kurindu
Ku ingin selamanya berada di sisi-MU
Walaupun sekadar di Ampaian kasih-MU.

 

Wallahhua'lam.

 

Segala yang baik itu datangnya dari Allah manakala yang buruk itu adalah kelemahan diriku sendiri.

Wassalam.



Usaha Mesti, Kejayaan usah dinanti, Serahkanlah pada Ilahi.

Friday, November 11, 2011

Bisikan.....

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Salam kasih di angin lalu, untuk anda yang masih lagi setia mengunjungi blog saya.  Semoga anda semua berada di dalam rahmat dan redha Allah.

Ya  Allah,  apakah yang mengganggu fikiran ku ini?  Adakah ini bisikan syaitan atau isyarat dari Mu Tuhan.  Berikanlah aku jawapan agar hati ku tenang.


Ya Allah, jahatnya syaitan ini.  Ku cuba tutup segala laluannya tetapi dia dapat juga meresap ke jiwaku.  Astagfirullah hal 'azim.  Apakah caranya lagi perlu ku lakukan?


Ya Allah sesungguhnya aku insan yang lemah, tiada akal dan upayaku untuk melawannya.  Berikanlah aku kekuatan untuk terus menghadapi segala pancaroba hidup ini.  Sesungguhnya pada Mu Tuhan aku berserah.


Cuti Sekolah datang lagi


Di hujung-hujung musim persekolahan ini fikiran saya sudah mula ligat memikirkan apakah yang perlu dan patut saya lakukan untuk anak-anak di musim cuti sekolah.  Seperti tahun-tahun sebelum ini, saya cuba menyediakan program untuk mereka.  Ada kalanya menjadi ada kalanya tidak.  Tak apalah asalkan saya berusaha mendidik mereka, berjaya atau tidaknya saya serahkan kepada Allah.


Ermmm, Anak saya yang pertama masih dalam cuti semester.  Lama juga sehingga habis bulan Disember.  Katanya nak kerja tapi setakat ini masih lagi 'memeruk' di rumah.  Tidur dan berfb, itulah kerjanya.  Sesekali tolong  juga kemas-kemaskan depan rumah.  Saya semenjak dua menjak ni malas sangat nak mencabut rumput depan rumah.  Kalau dulu rajin juga membelek-belek bunga sebab suami rajin tolong, sekarang ni nak jemur kain kat depan pun rasa malas.  Patutlah sebelum suami pergi dia dah siapkan ampaian di belakang rumah.   Saya lebih selesa menjemur kain di belakang rumah tapi kalau hujan kena bawa ke depan supaya tak kena hujan.


Banyak perkara yang dia siapkan sebelum dia pergi.  Banyak perkara juga yang dia ingatkan saya sebelum dia pergi.  Walaupun pada peringkat awalnya saya tak perasan tapi lama kelamaan saya perasan juga.  Ya..., itu semua adalah datangnya dari Allah cuma disampaikan oleh almarhum suami saya.  Semoga dia juga mendapat ganjarannya atas apa yang dia lakukan di saat akhir-akhir hidupnya.  Terima kasih Allah.


Saya selalu berfikir/teringat, sebelum ujian besar ini datang kepada saya, Dia(Allah) telah menyediakan pelbagai-bagai perkara untuk saya menghadapinya.  Dia mendatangkan ujian-ujian yang kecil supaya saya bersedia untuk ujian yang lebih besar.  Banyak perkara-perkara yang saya ingatkan pada almarhum suami tetapi akhirnya peringatan itu jugalah yang berguna untuk saya dan saya gunakan sekarang.  Banyak perkara yang tak mahu saya lakukan dan saya larang ahli keluarga saya lakukan, akhirnya ia membawa kebaikkan pada kami sekarang ini.  Banyak perkara kebaikan yang ingin saya lakukan dan tidak boleh saya lakukan dahulu akhirnya Allah mengizinkan saya lakukan sekarang ini.  Dan banyak perkara juga yang saya usahakan tidak menjadi, dan selalu saya bertanyakan pada diri sendiri dimana silapnya?  Saya tak nampak pun apa-apa kesilapan yang saya lakukan dan saya dah buat semua/apa yang Allah suruh tapi tak juga dapat?  Akhirnya baru saya mendapat jawapannya sekarang ini.  Syukur Allah atas segala-galanya walaupun suatu ketika dahulu saya sering bertanya pada diri sendiri maupun dengan almarhum suami, kenapa? mengapa?  Banyak perkara yang terjawab sekarang ini.  Semuanya adalah kerana ujian dan cubaan yang ingin KAU berikan padaku.  Ku terima atas segalanya Allah, sekarang ini baru ku tahu kenapa dan mengapa.


Ehhh... melalut pulak cerita lain, sambung balik cerita pasal anak....  Ada juga yang kaum kerabat yang cadangkan kerja kat McD dan seumpamanya, tapi saya kurang setuju dan dia pun tak berapa suka, katanya pengurus suruh buang janggut. Itulah pengalaman kerja beberapa hari bekerja di McD semasa tunggu keputusan SPM dulu.  Sayang sangat dengan janggutnya, dari sekolah lagi tak pernah di buangnya.  Walaupun dulu dia bertukar dari Maahad ke sekolah agama biasa janggutnya tetap tidak dibuang, katanya cikgu tak marah.  Tak apalah perkara yang baik taklah saya melarang.


Anak ke dua saya bakal menduduki SPM beberapa hari lagi.  Perangainya lebih kurang sama je dengan abangnya dulu.  Tak kisah, macam ok je tapi kalau tengok keputusan peperiksaan sebelum ni taklah bagus sangat.  Ibunya juga yang kisah, suruh baca buku, suruh solat hajat, suruh baca yassin/ngaji banyak-banyak dan banyak lagi.  Kalau tak diingatkan tak dibuat dan kadang-kadang saya marah juga dengan perangai dia.


Manakala anak ketiga saya ni, konon-kononnya nak hantar program cuti sekolah selama sebulan, yang pernah dia pergi dulu.  Tapi dah besar ni, susah juga nak disuruh sebab dah pandai membantah/menolak.  Kenalah pulak  program yang disediakan program agama dan membetul bacaan semasa membaca al-Quran.  Tak taulah boleh hantar atau tak dan mungkin yang dekat je, boleh berulang hari-hari.


Anak saya yang ke empat ni pun macam tu, tapi dia yang nak pergi.  Tempatnya tak sama dengan abangnya.  Tak boleh sama-sama tempat nanti bergaduh. Tapi rasa-rasanya hantar tempat yang sama dengan abangnya.  InsyaAllah jika mereka setuju.


Bukannya tak mahu hantar yang dekat, berulang setiap hari tapi maklum ajelah cuti sekolah, orang lain seronak main di padang baik pagi atau pun petang tapi anak-anak saya pergi belajar.  Tentulah daya tarikan main tu lebih kuat dan menyebabkan malas nak pergi tambah-tambah pula saya yang paksa.  Padang pun depan rumah je, lagilah hati mereka meronta-ronta.


Entahlah, saya pun tak pasti, menjadi atau tidak perancangan saya tahun ini.  Kalaupun tak menjadi tak apalah, sekurang-kurangnya saya paparkan di sini ada juga idea untuk orang lain buat perkara yang sama.  Saya tak buat tapi orang lain buat insyaAllah dapat juga bahagian untuk saya.


Dua orang anak kecil saya ni, memang tahun hadapan saya nak sekolahkan di Madrasah.  InsyaAllah, hati saya lebih kuat ke arah itu tapi belum Istikharah lagi.  Tak apalah dia orang tidak dipandang hebat oleh orang tapi Allah memandang mereka. Asalkan ilmu agama mereka penuh di dada itu sudah cukup bagi saya.  Nak harapkan saya yang mengajar, saya pun tak pandai.  Setakat mengajar mereka mengaji tu bolehlah.


Bak kata ustaz-ustaz yang mengajar di sekolah pondok/madrasah, " ilmu agama itu kena di dulukan, kalau itu dah selesai nanti kalau dia nak cari ilmu dunia/ambil SPM secara persendirian pun boleh,  InysaAllah Allah akan tolong".


Memang banyak yang saya dengar, walaupun mereka tak belajar lama(dari tingkatan 1 hingga 5) tapi mereka boleh berjaya dalam SPM macam orang lain juga dan berjaya juga masuk ke Universiti.


Betullah dengan ungkapan ini, "Jika kita jaga hak Allah, Allah akan jaga hak kita".  Dan itulah yang cuba saya lakukan, walaupun kadang-kadang saya juga tersasar dari landasannya tapi selalu ada yang menyedarkan dan mengingatkan.  Terima kasih Allah kerana mendekatkanku dengan orang yang baik-baik.  Terima kasih Allah atas segala-galanya.  Sesungguh semuanya adalah datang dari Engkau, yang buruk maupun yang baik.


Entah bilalah saya boleh untuk tidak menulis tentang diri sendiri dan keluarga ni?


Itulah antara bisikan-bisikan yang sering mengganggu tidurku.


Wallahhua'lam.

 

Segala yang baik itu datangnya dari Allah manakala yang buruk itu adalah kelemahan diriku sendiri.

Wassalam.



Usaha Mesti, Kejayaan usah dinanti, Serahkanlah pada Ilahi.

 

 

 

Friday, November 4, 2011

Labbaikallah....

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Salam kasih di angin lalu, untuk anda yang masih lagi setia mengunjungi blog saya.  Semoga anda semua berada di dalam rahmat dan redha Allah.

 

Labbaikallahhummalabbaik.....

Kami sahut panggilan-Mu ya Allah, Kami Sahut tiada sekutu-MU, Ya Allah!

Kami sahut segala pujian, nikmat dan kerajaan adalah kepunyaan-Mu, ya Allah!

Tidak ada sekutu dengan-MU.

 

Allahhu Akhbar.   Inilah satu-satunya keinginan saya yang masih belum tercapai.  Semoga saya mampu mengumpulkan duit untuk ke sana secepat mungkin. Orang macam saya ni kena ada mahram jadi kena kumpul lebih sikit duit bolehlah bawa anak lelaki.


Teringat pesanan ustazah Ruzimah, kalau rukun Islam yang lima belum sempat dilaksanakan sebelum kita menghembuskan nafas terakhir, kita akan berada di mana?  Padahal kita mampu sebenarnya untuk ke sana tetapi kita lebihkan hal-hal dunia.  Baju dah tiga almari tapi masih nak lagi beli baju baru.  Kereta dah ada tapi masih nak tukar kereta yang lebih cangih atau nak tambah lagi satu.  Rumah dah ada tapi masih nak besarkan dan banyak lagi, padahal duit-duit tu dah boleh di simpan untuk pergi haji.


Kalau ada duit, masa pula yang tak ada.  Katanya, terlalu takut meninggalkan perniagaan, pekerjaan atau anak-anak.  Mana yang lebih penting cinta Allahkah atau cintakan perniagaan yang takut kerugian, atau perkerjaan yang mungkin bertimbun/hilang atau anak-anak yang masih kecil?  Semuanya itu alasan menandakan kita belum benar-benar menyintai Allah lebih dari segala-gala.  Katanya kalau kita benar-benar utamakan dan cintakan  Allah kita sanggup kehilangan anak daripada kehilangan Allah, kita sanggup kehilangan segala-galanya kerana DIA.  AllahhuAkhbar cintaku tak seutuh Rabbiatul Adawiyah terhadap MU ya Allah.  Ampunkan Aku.


Tersentak saya mendengar kata-kata itu beberapa tahun dulu.  Tapi apakan daya, kita sudah terlanjur melakukannya, hutang telah sedia ada di keliling pinggang, cumanya janganlah cuba menambah lagi apa yang dah ada, simpanlah duit untuk kita membuktikan bahawa kita ini hambaNya, sanggup susah keranaNya.  Sekarang ini hutang dah tak banyak tapi duit yang ada setakat cukup makan aje.  Tak apalah yang lain tak ada, asalkan kita mampu menuju kepada Allah yang satu yang kita sentiasa lafaz setiap hari.  Inna solati......


Sebenarnya lafaz di atas ialah untuk mereka yang ingin menunaikan haji tapi untuk kita yang tak pergi ni pun sesuai juga.  Kita sahutlah panggilan Allah dengan membuat apa yang di suruhNya dan menjauhi apa yang di larangNya sebaik mungkin.


Terkenang masa program Dhuha dengan ustazah Salbiah lebih sepuluh tahun dulu.


Satu pagi di program Dhuha di Taman Exora.  Kami biasanya bertukar-tukar tempat program bergantung pada permintaan.  Kadang-kadang di surau, kadang-kadang di Masjid dan kadang-kadang di rumah ahli Dhuha.  Selepas solat Dhuha, solat hajat dan sesekali solat sunat Tasbih yang di pimpin oleh ustazah Salbiah, kami membaca kitab-kitab yang telah di bukukan semula ke bahasa Melayu.  Maklumlah kami ni ramai yang tak pandai jawi termasuk saya.


Ustazah punya stail, biasalah kadang-kadang dia bacakan, kadang-kadang dia suruh anak muridnya bergilir-gilir membacanya.  Satu ketika dia menyuruh saya membaca satu kitab, tak ingat kitab apa dan terselit sikit tentang haji.  Saya pun bacalah dengan kuatnya supaya semua orang dengar.  Lafaz di atas di baca beberapa kali, entah kenapa hati terasa hiba hingga menitiskan air mata, tiba-tiba sahaja, tidak mampu saya menahan, tersedu-sedu saya membacanya.  Tak tahulah dari mana datang perasaan sedih itu padahal sebelumnya tiada apa-apa.  Seingat-ingat saya tiada masalah dari rumah yang saya bawa ke situ.  Tapi entahlah semuanya berlaku tanpa dirancang.


Walaupun ustazah tahu saya menanggis teresak-esak dan berjangkit kepada orang lain pula tetapi dia tidak menyuruh saya memberhentikan bacaan.  "Aduh! ustazah ni", dalam hati saya berkata-kata.  Hingus sudah meleleh keluar, tiada sapu tangan untuk di sapu.  Akhirnya saya lapkan sahaja di tudung.  Saya membaca beberapa muka surat sehingga dia mengatakan cukuplah, sedangkan ketika itu mau sahaja saya melarikan diri tetapi tak berdaya rasanya untuk bangun.


Itulah, kadang-kadang saya tak ingin menanggis tetapi perasaan itu datang sendiri supaya menanggis serta mengalirkan air mata dan ada ketikanya saya ingin menanggis tetapi saya tidak boleh menanggis.  Sebelum, ketika dan saat suami saya menghembuskan nafas terakhirnya, saya tidak boleh menanggis sedangkan orang sekeliling telahpun menanggis.  Hinggakan semasa di dalam van jenazah semasa mengiringinya untuk di bawa ke taman tempat tinggal kami, saya bertanya pada diri di dalam hati, kenapa saya tidak menitiskan air mata.  Padahal ketika itu saya tidak boleh membacakan untuk dia ayat-ayat suci(biasalah orang perempuan tiap-tiap bulan ada waktu cutinya).  Biasanya dalam keadaan begini saya lebih sensitif.  Saya seorang yang sensitif, terlalu mudah mengeluarkan air mata.  Sehingga saya berdoa kepada Allah titiskanlah sedikit air mata saya untuknya ketika ini.


Akhirnya saya menitiskan sedikit air mata setelah saya sampai di Surau taman dan kawan-kawan datang memeluk saya.  Dan sekali lagi selepas solat Jenazah, ketika kawan-kawan dari Jemaah ustazah Salbiah memeluk saya untuk mereka beredar dari surau.


Tetapi sebenarnya di sebalik apa yang berlaku ini, ada baiknya yang ingin Allah tunjukkan, mungkin bukan untuk saya tetapi untuk orang lain.  Allah menutup keaiban diri saya daripada orang lain, dengan memandang baik pada saya, dengan pujian-pujian yang mengatakan saya seorang yang kuat, sabar, tabah dan cekal.  Entahlah, saya sendiri tak merasai kebenaran, apa yang mereka katakan kerana saya tahu di mana kekurangan saya.  Kadang-kadang apa yang saya paparkan kepada orang, menyebabkan orang tertipu sedangkan saya tiada niat untuk menipu.  Padahal saya tak rasa pun seperti apa yang mereka cakapkan.


Yang ingin saya katakan disini,  kadang-kadang kita tidak menduga sesuatu akan terjadi kepada kita, kadang-kadang apa yang kita rancang dan harapkan pada diri kita tidak terjadi walaupun telah puas kita berusaha tetapi perkara yang lain yang tak dijangka yang tidak ingin terjadi ia terjadi pula dan cuba kita melawannya tak terdaya rasanya untuk melawannya.  Sakit jiwa ini rasanya.


Oleh kerana saya sudah ada pengalaman melawan kehendak hati, jadi saya tidak mahu tersiksa seperti sebelum ini. Iaitu melawan untuk tidak memakai niqab/purdah yang sejak zaman remaja lagi.  Gerakkan hati itu sejak dari sekolah lagi, tetapi banyak perkara yang saya fikirkan menyebab saya tidak melakukannya.  Apabila saya ingin mendirikan rumah tangga perasaan itu hilang.  Akhir sekali dalam setahun sebelum suami pergi perasaan itu datang semula.  Keinginan saya begitu kuat untuk berbuat demikian sehingga saya meminta izin pada suami,  cumanya ketika itu dia tidak mengatakan ia atau tidak.  Dia hanya diam.  Selepas suami pergi perasaan itu begitu kuat menganggu sehingga menanggis saya melawannya, maklumlah saya seorang, banyak perkara yang perlu saya fikirkan, saya takut saya tidak kuat dengan kata-kata orang tetapi dalam pada itu saya juga tidak suka diganggu dengan pandangan yang saya sendiri tidak faham apa maksudnya.  Samada yang memandang itu lelaki atau pun perempuan.


Selepas saya berjaya mengikut kata hati, saya rasa lebih tenang dan tidak peduli lagi samada orang pandang atau tidak.  Tambahan sekarang ni saya banyak keluar rumah.  Jadi saya rasa lebih selesa begini.  Walaupun apa pandangan orang, saya sudah tidak peduli.  Banyak cerita-cerita yang saya dengar sebelum ini menyebabkan saya tidak mahu menjadi seperti apa dan siapa yang mereka ceritakan.  Antaranya, "Dia tu lepas jadi Janda, dari tudung labuh dah jadi singkat, dah pandai mekap-mekap dan banyak lagi, bila bercakap tergedik-gedik dan banyak lagi,".  Ah, saya tidak mahu seperti apa yang mereka gambarkan.  Sebelum mereka mula mengata lebih baik saya tutup mulut mereka dengan cara saya.  InsyAllah, saya mampu melakukannya.  Setakat ini, insyaAllah nampak baik-baik belaka, tiada pandangan serong dari jiran tetangga.  Saya senang dan tenang begini.  Alhamdulillah.


Kebelakangan ini saya suka berfikir dan cuba mengaitkan sesuatu peristiwa yang berlaku sebelum ini dengan diri saya sekarang ini.  Saya cuba mencari jawapannya.  Mungkin sudah ada jawapannya sekarang ini, walaupun dulu saya tak tahu kenapa.


Memang benarlah, hati kita milik Allah jua.  Takkan boleh kita melawan kehendak Allah cuma hanya mampu berdoa semoga tiada rasa-rasa yang boleh mengganggu perjalanan hidup kita.  Ya, sememangnya saya berdoa dari dahulu lagi, ingin memiliki hati yang tenang dan bahagia.  Tenang bila berhadapan dengan masalah, tidak cepat marah, melenting dan berkeluh kesah walaupun sebanyak mana sekalipun yang datang.  Bahagia dengan kehidupan yang di lalui tanpa ada rasa-rasa yang tidak puas hati, tanpa rasa susah hati, tanpa rasa ingin mencari-cari dan menerima sahaja kententuan Ilahi.  Mungkin itulah yang ingin Allah beri tetapi jalannya tidak sama seperti yang saya ingini.  Entahlah, saya pun tak pasti.  Sekarang saya hanya berserah pada Pencipta saya.  Tak mahu dan tak mampu saya melawanNYA.


SELAMAT MENGERJAKAN IBADAH HAJI DAN YANG TAK PERGI SELAMAT MEYAMBUT SERUAN ILAHI.


Wallahhua'lam.

Segala yang baik itu datangnya dari Allah manakala yang buruk itu adalah kelemahan diriku sendiri.

Wassalam.



Usaha Mesti, Kejayaan usah dinanti, Serahkanlah pada Ilahi.